Essay: Transformasi

Istilah transformasi berasal daripada perkataan Inggeris iaitu transformation yang dibina daripada dua kata dasar iaitu trans dan form. Trans bermaksud melintasi dari satu sisi ke sisi lain atau melampaui, manakala kata form bererti bentuk. Jika istilah transformasi digunakan dalam bentuk kata kerja, maka kita menyebutnya sebagai mentransformasikan yang bermakna mengubah dari segi rupa, bentuk, sifat, fungsi dan juga bererti mengalihkan. Berbalik kepada kajian ini, jelaslah perkataan ‘transformasi’ mempunyai makna yang sangat luas dan perlu diambil perhatian serius.

Transformasi dalam upacara majlis perkahwinan masyarakat Melayu pada masa kini telah melalui satu proses pengalihan yang seiring dengan peredaran zaman dan pembangunan mapan. Hampir lapan puluh peratus masyarakat Melayu di Malaysia mempraktikkan cara baru dalam perkahwinan yang secara tidak langsung mengenepikan cara lama yang diamalkan oleh orang-orang tua kita. Perkahwinan yang merupakan langkah pertama kepada pembentukan keluarga dan mobiliti sosial telah menyerap unsur akulturasi daripada budaya yang lebih dominan.

Akulturasi merupakan sebuah istilah dalam ilmu Sosiologi yang bererti proses pengambil alihan unsur-unsur atau pun sifat kebudayaan lain oleh sesebuah kelompok atau individu. Dengan kata lainnya, akulturasi merupakan satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri.

Proses ini berbeza dengan proses asimilasi dimana proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima. Dalam sejarah tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan budaya antara dua atau lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam meminjam. Proses ini diterima dengan cepat apabila sesebuah masyarakat itu mengamalkan sifat keterbukaan dan mengakibatkan kebudayaan yang dimiliki akan terpengaruh dengan kebudayaan masyarakat lain. Contohnya, perubahan kebudayaan yang disebabkan oleh perkahwinan dua kebudayaan yang berbeza samada dari segi adat perkahwinan, gaya pemakaian dan upacara majlis perkahwinan.

Kehidupan berumahtangga sebagai suami dan isteri merupakan suatu hubungan yang teguh melalui akad nikah yang sah. Islam meletakkan perkahwinan sebagai amalan sunnah yang amat penting. Naluri manusia sememangnya berkeinginan untuk mempunyai teman hidup di mana ianya disebut sebagai fitrah dalam kehidupan manusia. Fitrah untuk hidup berpasangan ini bersesuaian dengan fitrah untuk hidup saling mengasihi, saling memberi dan menerima, serta berkongsi dalam menempuh suka duka kehidupan. Secara umumnya, semua agama mempunyai adat perkahwinan masing-masing kerana perkahwinan merupakan perkara wajib di dalam melangsungkan kehidupan di dunia ini. (Amaluddin Mohd Napiah dan Zakaria Sungip, 2002).

Secara keseluruhannya, kajian ini banyak berkisar kepada faktor-faktor yang melakari transformasi ini dan menjurus kepada natijah serta langkah-langkah mengatasi yang boleh dicungkil daripada eksperimentasi ini.

1.2 Latar Belakang Kajian
Dari segi bahasa, perkahwinan membawa maksud pernikahan atau penggabungan antara dua unsur yang berlainan. Manakala dari sudut istilah syarak Islam pula, perkahwinan membawa maksud ikatan yang terjalin antara lelaki dan perempuan berdasarkan akad nikah atau ijab dan kabul yang sah yang memungkinkan mereka berdua berseronok antara satu sama lain (Dr. Abdul Karim Zaidan). Asal makna pernikahan dari segi bahasa ialah al-wat’u yakni persetubuhan kerana pernikahan adalah sebab kepada halalnya persetubuhan. Manakala dari sudut istilah syarak Islam pula pernikahan membawa maksud ikatan yang terjalin antara lelaki dan perempuan yang mengharuskan kedua mereka melakukan hubungan persetubuhan secara halal.

Perkahwinan merupakan langkah pertama kearah pembinaan sebuah keluarga yang bahagia. Sebuah keluarga tidak akan terbina tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Setiap pasangan suami isteri semestinya mengimpikan kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan. Dalam melayari bahtera perkahwinan, kedua-dua pasangan mestilah mempunyai pengetahuan mengenai ilmu rumahtangga kerana ianya amat penting untuk diamalkan. Kehidupan berkeluarga yang diimpikan umpama syurga boleh bertukar menjadi neraka jika tidak ditempuhi dengan baik berasaskan ajaran Islam yang sebenar.

Islam melihat perkahwinan sebagai satu keperluan dalam kehidupan manusia, seperti perlunya manusia kepada makan minum, tempat tinggal dan berpakaian. Nabi SAW sendiri menyebut bahawa berkahwin adalah salah satu sunnah baginda. Allah SWT yang bersifat pengasih lagi maha penyayang telah menurunkan peraturan yang begitu indah dalam perkahwinan. Kita sebagai makhlukNya hanya perlu mentaati apa yang telah diaturkan olehNya, nescaya kehidupan kita akan diredhai dan direstui oleh Allah SWT.

Apabila seseorang telah dewasa dan berupaya mencari nafkah untuk menanggung diri dan rumah tangganya, maka disunatkan baginya berkahwin agar terpelihara dirinya daripada sesuatu yang haram yang merosakkan akhlak atau moralnya. Allah SWT berfirman,
‘Maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khawatir tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja.’ (Surah an-Nisa’ : 3)

Menurut Muhammad Abdul Rauf (1989), tatacara perkahwinan di dalam Islam merangkumi soal jodoh, majlis merisik dan pertunangan, menentukan mahar, upacara akad nikah, mengatur majlis pernikahan dan kenduri kahwin, hinggalah ke soal-soal hubungan suami isteri, mendidik anak-anak dan kemudian mengahwinkan pula anak-anak itu apabila tiba masanya. Ini menunjukkan bahawa kehidupan manusia telah diatur dengan begitu sempurna agar manusia terus hidup di dalam keredhaan Allah SWT dengan mengikuti aturan yang telah ditentukan.

Masyarakat Melayu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan, baik di kawasan luar bandar mahupun di bandar. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting iaitu merisik, bertunang, majlis akad nikah, bersanding dan walimatul urus iaitu majlis perkahwinan.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1997), adat bermaksud peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala. Manakala istiadat pula bermaksud berbagai-bagai adat yang diikuti. Jika dahulu masyarakat Melayu hanya mengikut adat nenek moyang sahaja, namun kini mentaliti masyarakat Melayu telah berubah seiring dengan perkembangan dan kemajuan yang dikecapi oleh negara kita. Secara dasarnya, perkahwinan orang Melayu dewasa ini selari dengan tuntutan Islam, namun ada sebahagian upacara yang dilakukan di dalam majlis perkahwinan itu bercanggah dengan ajaran Islam.

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji perbezaan di antara adat resam perkahwinan pada zaman dahulu dan bezanya pada hari ini. Melalui pemerhatian awal, bentuk sambutan majlis perkahwinan pada hari ini semakin hebat disebabkan arus kemodenan, dan ini menyebabkan adat-adat perkahwinan pada zaman dahulu semakin pupus. Kesimpulannya, perkahwinan pada hari ini banyak memerlukan wang ringgit kerana masyarakat sekarang dipengaruhi oleh arus kemodenan.

1.3 Pernyataan Masalah Kajian
Al-Quran telah menyatakan sifat dunia sebagai keseronokan sementara yang dapat mengalahkan iman manusia. Sudah menjadi lumrah, manusia mudah ditewaskan oleh nafsu syaitan dan jika kita tidak melawannya dengan sifat keimanan, maka manusia akan ditenggelami dengan keseronokan yang sementara. Justeru kita sentiasa diingatkan supaya menjadikan akhirat sebagai matlamat kehidupan. Segala ilmu yang diperoleh di dunia pula, kita jadikan sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat kelak. Namun, manusia dan juga diri kita sendiri berjaya dikaburi oleh keindahan dunia sehingga terdapat manusia yang lupa akan asal-usulnya. Firman Allah SWT,
‘Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; Kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning, kemudian menjadi hancur dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.’ (Surah al-Hadid : 20)

Perkara ini dapat dilihat apabila manusia diuji dengan salah satu pengaruh kemodenan iaitu ketika ingin melangsungkan upacara majlis perkahwinan. Sudah menjadi fenomena pada hari ini bagi kebanyakan pasangan pengantin baru untuk meraikan hari yang istimewa dalam hidup mereka itu dengan pelbagai persiapan dan perbelanjaan. Kajian ini akan mengkaji beberapa permasalahan kajian yang timbul akibat daripada transformasi yang berlaku dalam upacara majlis perkahwinan pada hari ini.

Masalah pertama mengenai kajian ini adalah perbuatan yang melibatkan pembaziran dan ianya dilihat telah melampaui kebiasaan masyarakat. Ini kerana, kebanyakan majlis perkahwinan yang diadakan pada hari ini telah mengakibatkan kos perbelanjaan yang besar. Telah menjadi suatu kewajipan, pengantin dihiasi dengan pakaian yang indah dan mahal, dilengkapkan dengan hidangan jamuan yang pelbagai menunya serta dihiaskan pelamin persandingannya dengan tema warna yang pelbagai. Bukan itu sahaja, kos hantaran pula perlu mengambil kira darjat atau status pengantin tersebut. Apatah lagi jika keluarga pengantin terpaksa meminjam wang untuk menjayakan majlis tersebut. Sabda baginda Rasulullah saw yang bermaksud,
‘usahakanlah untuk menjayakan keperluan kamu dengan merahsiakannya, kerana sesungguhnya setiap orang yang memiliki nikmat itu didengki’. (Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabarani).
Oleh itu, umat Islam diseru agar bersederhana di dalam kehidupan, termasuk dalam menguruskan upacara majlis perkahwinan dari mula hingga selesai majlis walimatul urus. Janganlah kita membazir dalam soal perbelanjaan perkahwinan kerana orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Semoga penjimatan yang diamalkan oleh kita akan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan yang baru dibina bersesuaian dengan hadis Rasulullah saw,
‘Perempuan (calon isteri) yang lebih besar keberkatannya adalah yang lebih ringan maskahwinnya’. (Hadis riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan al-Nasa’i).
Masalah seterusnya ialah masyarakat pada hari ini berlumba-lumba dalam memeriahkan majlis perkahwinan. Perkara sebegini seterusnya akan membawa kepada budaya bermegah-megah yang boleh melupakan manusia kepada matlamat hidup di akhirat, sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita agar berwaspada dalam menguruskan nikmat yang diberi oleh Allah SWT. Sebenarnya, mengadakan majlis perkahwinan adalah sebahagian dari tuntutan agama. Justeru itu, ia perlu dilaksanakan dengan mematuhi kehendak agama sekiranya kita ingin mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Kurangnya didikan agama juga merupakan sebab mengapa transformasi dalam upacara majlis perkahwinan terjadi. Seperti sedia maklum, upacara akad nikah adalah satu-satunya kaedah yang diwajibkan dalam Islam untuk menghalalkan perkahwinan. Upacara lainnya tidak dituntut oleh Allah SWT malah ada yang bertentangan dengannya. Masyarakat yang hidup tanpa pegangan agama akan lebih mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif.

Kesimpulannya, arus kemodenan yang berlaku pada hari ini banyak memainkan peranan penting dalam mengubah gaya hidup dan penampilan masyarakat dan beranggapan bahawa kemajuan amat berguna kepada manusia sehingga mereka lupa tujuan asal manusia diciptakan. Oleh itu, kajian ini dilakukan bagi meninjau sejauh mana transformasi arus kemodenan dalam perkahwinan berjaya mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup manusia sehingga berjaya menewaskan adat-adat perkahwinan terdahulu.

1.4 Soalan Kajian
Untuk mencapai objektif dan mencari jawapan masalah kajian, terdapat beberapa soalan yang berkaitan :
a) Konsep perkahwinan menurut Islam serta transformasi upacara majlis perkahwinan yang telah berlaku pada hari ini.
b) Faktor berlakunya transformasi dalam upacara majlis perkahwinan.
c) Kesan positif dan negatif terhadap masyarakat yang mengalami transformasi dalam upacara majlis perkahwinan.
d) Transformasi upacara majlis perkahwinan yang berlaku dari sudut pandangan Islam.

1.5 Objektif Kajian
Objektif kajian ini adalah untuk melihat konsep perkahwinan dan perbezaan yang berlaku terhadap masyarakat hari ini selepas ditelan arus kemodenan. Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas, kajian ini akan menumpukan kepada perkara-perkara berikut :
a) Mendalami sejarah bagaimana perkahwinan terdahulu dilangsungkan mengikut syariat Islam dan transformasi upacara majlis perkahwinan yang telah berlaku pada hari ini dan juga disertakan hukum dan dalil yang melibatkan adat istiadat dalam upacara majlis perkahwinan.
b) Mengkaji transformasi yang berlaku dalam upacara majlis perkahwinan pada masa kini dari sudut sosial, ekonomi dan budaya merujuk kepada faktor-faktor penyebab dan penyataan masalah yang dikemukakan.
c) Mengumpul dapatan kajian yang meliputi kesan-kesan positif dan negatif terhadap masyarakat apabila transformasi dalam upacara majlis perkahwinan ini berlaku.
d) Menghuraikan pandangan ulama dari sudut pandangan Islam mengenai transformasi upacara majlis perkahwinan yang berlaku secara meluas dan telah menjadi kebiasaan masyarakat pada hari ini.

1.6 Kepentingan Kajian
Kajian ini dilakukan adalah bertujuan untuk melihat perbezaan dalam melangsungkan majlis perkahwinan yang dialami oleh masyarakat pada zaman dahulu dan masyarakat yang telah melalui zaman kemodenan pada hari ini. Hasil kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
a) Masyarakat akan mengetahui tujuan asal perkahwinan yang merupakan salah satu syariat Islam yang telah digagaskan oleh Al-Quran kerana perkahwinan merupakan keperluan jasmani supaya hidup manusia lebih teratur.
b) Memberi kesedaran kepada masyarakat supaya berpegang teguh dengan adat resam kerana dalam kepesatan mesyarakat menuju ke arah negara maju, masih wujud kekeliruan antara tuntutan agama dan adat. Ada pepatah mengatakan, ‘biar mati anak, jangan mati adat’.
c) Mengingatkan umat Islam agar bersederhana di dalam kehidupan dan berwaspada dengan kemewahan dunia yang bersifat sementara supaya setiap perbuatan yang dilakukan akan mendapat keberkatan dari-Nya, tidak perlu menyusahkan diri untuk menghabiskan perbelanjaan yang besar.
d) Kajian ini juga dapat dijadikan panduan tambahan kepada masyarakat umum atau individu tertentu yang berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuan mengenai perkahwinan menurut Islam selagi tidak melampaui syariat.

1.7 Skop Kajian
Kajian ini berkisarkan mengenai perubahan kemajuan dalam kehidupan masyarakat atau dengan kata lainnya, transformasi yang berlaku dalam upacara majlis perkahwinan. Kajian awal mendapati terdapat banyak perbezaan adat dan budaya dalam melangsungkan perkahwinan dari mula hingga selesai walimatul urus. Perbezaan dalam melangsungkan majlis perkahwinan juga berbeza bagi masyarakat yang berada di kampung dan bandar kerana ianya dipengaruhi oleh status kehidupan.

Kajian ini lebih memfokuskan pada masyarakat yang berada di bandar iaitu di sekitar pusat bandar Kota Bharu, Kelantan. Lokasi tersebut dipilih kerana mampu menawarkan responden-responden yang berkualiti dan memenuhi kehendak kajian.

1.8 Tinjauan Literatur
Kajian literatur merupakan bahagian yang penting dalam melakukan penyelidikan di mana pengkaji membuat tinjauan ke atas kajian-kajian lepas untuk memperoleh maklumat yang berkaitan dengan kajian. Setelah pengkaji menentukan tema kajian, pengkaji akan membuat kajian literatur untuk memperoleh maklumat kajian lepas yang bersesuaian dengan tajuk kajian. Tujuan utama kajian literatur ialah untuk membantu pengkaji menghubung-kaitkan mengenai tajuk kajiannya.

Selain itu, ianya untuk mengelakkan pengkaji daripada membuat penyalinan iaitu melakukan kajian yang sama dengan kajian yang lepas. Bagi meneruskan kajian ini, terdapat beberapa buah buku yang digunakan sebagai rujukan dalam menyiapkan kajian ini yang berkaitan dengan perkahwinan pada zaman dahulu sehingga sekarang.
Di antara buku-buku tersebut adalah buku yang bertajuk Ingin Tahu? Perkahwinan hasil karya Sulaiman Endut (1999). Buku ini menghuraikan perkahwinan dengan lebih mendalam berkaitan dengan konsep, kepentingan dan penghayatan yang perlu difahami oleh setiap manusia yang beragama Islam. Huraian buku ini disertakan dengan dalil-dalil Al-Quran dan hadis bagi membuktikan bahawa perkahwinan merupakan institusi yang memenuhi tuntutan agama dan mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi.

Seterusnya buku rujukan kedua yang digunakan ialah bertajuk Wanita dan Perkahwinan hasil karya Haslina Hj. Hassan (1995). Buku ini serba sedikit menceritakan mengenai umur dan kedudukan ekonomi dimana faktor ini paling banyak mempengaruhi dalam aspek pemilihan pasangan. Umumnya, masyarakat bersetuju bahawa wanita mesti berkahwin dengan pasangan yang lebih tua daripadanya supaya lelaki tersebut dapat menjalankan tanggungjawab untuk melindungi isteri dan keluarga dengan sebaiknya.

Tanggungjawab tersebut dikatakan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya kedudukan ekonomi suami lebih tinggi daripada isteri. Ianya diambil kira kerana dapat menjamin masa depan isteri dan anak-anaknya kelak. Menurut pandangan masyarakat setempat, jaminan ekonomi pula mempunyai hubungan yang rapat dengan kedudukan dan status sosial isterinya. Bukan itu sahaja, masyarakat juga beranggapan bahawa pendidikan tinggi menghalang seseorang wanita daripada mendapat pasangan hidup kerana lelaki tersebut akan berasa rendah diri sekiranya wanita itu mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi.

Buku rujukan yang seterusnya bertajuk Perkahwinan dan Perceraian dalam Islam yang ditulis oleh Haji Mohd Saleh Haji Ahmad (2010) yang membincangkan mengenai pengertian sebenar perkahwinan menurut Islam dan pensyariatan nikah melalui Al-Quran, Al-Sunnah dan Al-Ijma’. Penulis juga menerangkan mengenai prosedur perkahwinan seperti panduan dalam memilih pasangan dan syarat-syarat untuk melakukan pinangan. Bukan itu sahaja, buku rujukan ini lengkap menceritakan mengenai bab walimatul urus dan mas kahwin.

Selain itu, beliau juga menerangkan mengenai hukum walimah adalah sunat muakkadah berdasarkan kepada amalan dan suruhan Nabi saw. Juga diterangkan mengenai kadar walimah, waktu walimah, hukum di dalam menyahut jemputan walimah dan juga hikmah mengadakan walimah iaitu sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt di atas nikmat perkahwinan dan berhimpunnya orang ramai meraikannya untuk mewujudkan perasaan kasih sayang dan kemesraan antara mereka. Ia juga sebagai menzahirkan perkahwinan daripada tersembunyi supaya jelas menunjukkan perbezaan di antara perkahwinan yang halal dan perzinaan yang haram.

Mas kahwin pula diterangkan dengan lebih terperinci mengenai dalil wajib mas kahwin dalam firman Allah swt,
‘ Dan berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian yang wajib dengan penuh kerelaan’. (Surah an-Nisa’ : 4)

Hikmah diwajibkan maskahwin adalah sebagai satu kesungguhan dan keinginan suami untuk hidup bersama isteri dengan cara yang baik dan berasaskan kehidupan suami isteri yang mulia. Di akhirnya, buku ini ada menyentuh mengenai pernikahan yang dilarang, perceraian, poligami dan juga talak.

Akhirnya buku yang digunakan sebagai rujukan adalah yang bertajuk Hukum dan Intisari Perkahwinan yang mesti anda tahu hasil karya Abdul Aziz Ismail (2010). Bab keempat belas di dalam buku ini menceritakan mengenai pemilihan teman hidup yang serasi dan bersesuaian. Sesiapa yang memilih secara tepat bererti ia telah mengambil langkah yang tepat dalam mewujudkan kebahagiaan yang diidamkan oleh setiap manusia. Pemilihan tidak boleh dilakukan dengan melihat kemewahan gaya hidup dan pangkat darjat seseorang semata-mata untuk kelihatan gah di mata masyarakat.

Ini adalah antara buku-buku kajian lepas atau tinjauan literatur yang telah digunakan untuk mendapatkan maklumat bertujuan mengupas tajuk kajian secara lebih mendalam. Selain itu, terdapat juga maklumat yang diambil dari laman web internet mengenai transformasi perkahwinan yang berlaku dari zaman dahulu sehingga ke hari ini.

1.9 Metodologi Kajian
Penyelidikan merupakan satu kaedah yang dilakukan untuk memastikan maklumat yang diperoleh munasabah dan disokong oleh data-data kuantitatif atau kualitatif. Ia dilakukan dengan mengumpul data mengenai sesuatu topik melalui satu proses yang sistematik yang melibatkan proses merancang kaedah penyelidikan, mengumpul data, menghurai data dan melaporkan maklumat. Metodologi kajian sangat mempengaruhi hasil kajian sama ada berkualiti ataupun tidak.

Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah secara kualitatif dan kuantitatif yang bertujuan untuk meninjau perubahan gaya hidup masyarakat dari segi budaya, ekonomi, dan sosial. Selain itu, kajian ini juga memfokuskan sejauhmana masyarakat pada hari ini tidak lagi mengamalkan adat dan budaya perkahwinan berbanding zaman dahulu. Terdapat dua jenis data yang akan dikumpul iaitu melalui data primer dan data sekunder.

Data primer kajian akan dikumpul dengan kaedah kualitatif dan kuantitatif. Kaedah kuantitatif akan menggunakan borang kaji selidik yang mengandungi 35 soalan yang akan diedarkan kepada 40 orang responden yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA yang telah berkahwin, pasangan yang telah berkahwin, dan juga kakitangan awam. Perisian yang akan digunakan bagi mengira peratus dan statistik hasil kajian kuantitatif ini ialah perisian IBM SPSS Statistics 2.0.

Borang soal selidik ini mengandungi bentuk soalan tertutup sahaja di mana responden hanya perlu menanda jawapan tanpa berfikir panjang kerana jawapannya telah disediakan. Borang ini mengandungi 3 bahagian iaitu bahagian A, bahagian B, dan bahagian C. Responden dikehendaki untuk menjawab semua soalan. Bahagian A mempunyai 8 soalan berbentuk demografi, manakala bahagian B mempunyai 24 soalan yang berkisar kepada tajuk kajian ini. Bahagian C pula mengandungi 3 soalan berbentuk skala berkaitan dengan langkah untuk mengatasi transformasi yang berlaku pada hari ini.

Bagi kaedah kualitatif pula, pengkaji akan menemubual 6 orang responden yang terdiri daripada mereka yang sudah lama berumahtangga, pelajar-pelajar IPTA yang baru mendirikan rumahtangga dan juga penduduk kampung untuk mendapatkan maklumat mengenai perbezaan perkahwinan pada zaman dahulu sehingga ke hari ini. Perisian yang akan digunakan bagi kaedah temubual ini ialah QSR Nvivo 8. Kaedah lain yang akan digunakan adalah kaedah pemerhatian mengenai upacara majlis perkahwinan yang berlaku pada hari ini.

Seterusnya, data sekunder mengenai upacara majlis perkahwinan yang dipengaruhi oleh tahap kehidupan masyarakat turut dikumpul melalui sumber-sumber perpustakaan seperti jurnal, artikel, buku-buku rujukan utama, tesis, majalah, website dan lain-lain dokumen berkaitan. Data sekunder lebih banyak membantu pengkaji untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman yang lebih mendalam. Beberapa buah perpustakaan yang telah dikenalpasti sebagai tempat untuk mendapatkan rujukan adalah Perpustakaan Awam Kota Bharu, Perpustakaan UniSZA dan juga Perpustakaan Awam Kuala Terengganu.

Source: Essay UK - http://lecloschateldon.com/essays/sociology/essay-transformasi/


Not what you're looking for?

Search our thousands of essays:

Search:


About this resource

This Sociology essay was submitted to us by a student in order to help you with your studies.



Word count:

This page has approximately words.


Share:


Cite:

If you use part of this page in your own work, you need to provide a citation, as follows:

Essay UK, Essay: Transformasi. Available from: <http://lecloschateldon.com/essays/sociology/essay-transformasi/> [24-01-19].


More information:

If you are the original author of this content and no longer wish to have it published on our website then please click on the link below to request removal:


Essay and dissertation help


Latest essays in this category:


Our free essays:

badges

 
Social Changes For Higher | Virtual & Crypto Collectables | Divinas (Divines) 2016